Perlawanan Pickleball Jemputan VIP Eratkan Silaturahim Kepimpinan Perkhidmatan Awam
LAWAS: Perlawanan Pickleball Jemputan VIP MAKSAK Bahagian Limbang 2026 menjadi platform memperkukuh silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan kepimpinan perkhidmatan awam menerusi aktiviti sukan secara santai.
Perlawanan anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Limbang itu berlangsung di Dewan Serbaguna LADICO, Kompleks Sukan Lawas pada Selasa.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merangkap Yang Dipertua MAKSAK Sarawak turut menyertai perlawanan tersebut bersama Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Penganjuran perlawanan persahabatan itu memberi peluang kepada barisan kepimpinan jabatan dan agensi berinteraksi dalam suasana lebih santai di luar urusan rasmi pentadbiran.
Selain menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dan aktif, aktiviti berkenaan turut memupuk semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam.
Penglibatan pelbagai jabatan dan agensi juga mencerminkan komitmen terhadap pembudayaan aktiviti riadah sebagai sebahagian daripada persekitaran kerja yang positif.
Turut hadir ialah Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang, Pengarah Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris serta Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi. - EDISI UKAS