TVET Disesuaikan Dengan Keperluan Industri, Pastikan Kemahiran Belia Kekal Relevan
SEBAUH: Pendidikan dan latihan kemahiran perlu terus disesuaikan dengan keperluan industri bagi memastikan generasi muda Sarawak memiliki kemahiran yang relevan dengan perubahan ekonomi dan teknologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perkembangan teknologi, automasi, sistem digital dan tenaga baharu telah meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran khusus.
Beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan antara laluan penting untuk membolehkan pelajar memperoleh kemahiran yang diperlukan industri.
“TVET menawarkan laluan yang berharga kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran berkaitan industri dan meneruskan minat kerjaya mereka,” katanya ketika berucap dalam Program Outreach MEITD 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh pada Sabtu.
Menurut beliau, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang seperti pembuatan, teknologi digital, tenaga dan industri berteknologi tinggi bagi menyokong pembangunan negeri.
Katanya, pelajar juga tidak seharusnya menganggap keputusan akademik sebagai satu-satunya penentu masa depan kerana terdapat pelbagai laluan pendidikan dan kemahiran yang boleh diterokai.
“Jika anda tidak dapat menuju ke institusi lain, cuba laluan kemahiran. Anda masih muda dan mempunyai banyak tahun untuk membina masa depan,”ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland Sagah berkata kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Beliau berkata, golongan muda turut perlu menguasai kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, kompetensi digital serta kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar supaya mempertimbangkan bidang keusahawanan dengan memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.
“Platform digital dan teknologi membolehkan perniagaan kecil dan tempatan mencapai pelanggan di luar komuniti.
“Kita bukan sahaja mahu melahirkan pelajar yang bersedia mencari pekerjaan, tetapi juga mereka yang mampu mencipta nilai, memulakan perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Gani Egit, Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu, Pengetua SMK Sebauh, Sewing Gak serta Pegawai Khas (Bahagian Pendidikan Tinggi) MEITD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid.-EDISI UKAS