Persatuan Klan Yek Perkukuh Hubungan Generasi, Sokong Pendidikan dan Kebajikan
SARIKEI: Persatuan Klan Yek Sarikei Sarawak terus memperkukuh hubungan antara generasi menerusi program yang memberi penekanan kepada kecemerlangan pendidikan golongan muda serta penghargaan terhadap warga emas.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha berterusan persatuan bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota, malah memastikan hubungan antara generasi muda dan warga emas terus dipelihara.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap pencapaian akademik pelajar turut berperanan memberi dorongan kepada generasi muda untuk terus mencapai kejayaan sambil menghargai jasa ibu bapa dan tidak melupakan asal usul.
“Anugerah pelajar cemerlang ini bukan sahaja satu penghargaan terhadap pencapaian para pelajar, tetapi juga satu harapan agar mereka sentiasa mengenang jasa ibu bapa dan tidak melupakan asal usul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Persatuan Klan Yek Sarikei di sebuah restoran, di sini, pada Sabtu.
Sebagai sokongan terhadap kesinambungan aktiviti persatuan, Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut mengumumkan peruntukan RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti tahunan Persatuan Klan Yek Sarikei.
Dalam pada itu, beliau berkata projek jalan dan Jambatan Tanjung Manis-Sarikei yang siap tahun lalu turut memberi kesan positif kepada perkembangan ekonomi Sarikei dengan meningkatkan hubungan serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan berpotensi menarik lebih ramai penduduk dari luar ke Sarikei, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan.
Majlis anjuran Persatuan Klan Yek Sarikei Sarawak itu menghimpunkan kira-kira 160 orang dan turut memberi penghargaan kepada warga emas serta mengiktiraf pencapaian akademik pelajar.-EDISI UKAS