Pesta Kuih Bulan Erat Perpaduan Masyarakat Simanggang
SIMANGGANG: Sambutan Pesta Kuih Bulan 2026 di Simanggang terus menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat menerusi penglibatan komuniti pelbagai kaum dalam sambutan perayaan tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis menzahirkan penghargaan terhadap semangat toleransi dan saling menghormati yang diamalkan masyarakat pelbagai kaum di Bandar Simanggang.
Beliau berkata, penganjuran sambutan dalam suasana santai dan mesra bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat, malah menggalakkan kerjasama dalam kalangan komuniti setempat.
“Keharmonian masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipertahankan bagi memastikan kestabilan sosial kekal terpelihara sekali gus menyokong kelancaran agenda pembangunan Sarawak demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi Setiausaha Sulit beliau, Jilin Itar, semasa sambutan berkenaan di perkarangan Tokong Ciyun, Sri Aman Waterfront pada Sabtu.
Sambutan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina Brayun Hulu dengan kerjasama Simanggang Badminton Club (SBC) itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara.
Antara yang diadakan ialah termasuk pembakaran mercun, simbolik penghantaran tanglung permintaan, persembahan violin, pertunjukan bunga api, perarakan tanglung oleh kanak-kanak serta penyampaian hadiah pertandingan badminton tertutup.
Turut hadir, Temenggong Leonard Libau Anol, Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn; Penghulu Kang Tai Kong, Kapitan Tay Yaw Ming, Kapitan Tay Siaw Chuan, Kapitan Kii King Hung, Kapitan Lai Joon Pin, Kapitan Kiew Si Ted, Kapitan Goh Teo Soon serta Kapitan Wong Tiong Kee.- EDISI UKAS