Program Pembangunan Komuniti MDSA Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Kepada Penduduk Sengkuang Ulu
SIMANGGANG: Program Pembangunan Komuniti anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Julia Bayang, Sengkuang Ulu, Batu Lintang menjadi platform mendekati masyarakat serta memperluas penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan awam, kebajikan dan keselamatan.
Mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis iaitu Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Jilin Itar, hadir pada program tersebut pada Sabtu.
Program tersebut menampilkan sesi perkongsian dan ceramah melibatkan lima agensi kerajaan berkaitan kesihatan, kebajikan, perlesenan, keselamatan serta pencegahan kebakaran yang berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat.
Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman turut menyampaikan ceramah berkaitan pencegahan penyakit bawaan nyamuk serta mengadakan pameran kesihatan, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman menerangkan bantuan kebajikan dan insentif kepada pemegang Kad OKU.
MDSA pula memberikan penerangan berkaitan perlesenan dan permit kedai kampung, sementara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkongsi maklumat mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan ceramah serta demonstrasi penggunaan alat pemadam api bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai langkah keselamatan dan tindakan awal ketika berdepan insiden kebakaran.
Dalam program sama, turut dirasmikan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan kerja menurap jalan akses yang siap dilaksanakan dengan kos RM200,000 serta Projek Naik Taraf Gelanggang Sepak Takraw bernilai RM150,000.
Kedua-dua projek tersebut menyediakan kemudahan prasarana yang lebih baik, selain memberi manfaat kepada aktiviti kemasyarakatan dan rekreasi penduduk setempat.
Hadir sama Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti dan Rekreasi MDSA Cr Ajin Bunchol, Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Sri Aman Pemanca Denneil Saweng, Ketua Masyarakat Iban kawasan Undop Penghulu Mingging Sigan, Ketua Masyarakat Iban kawasan Senggat Atas Penghulu Andar Suntai, Ketua Masyarakat Iban kawasan Sengat Baroh Penghulu Empaga Bailey serta Ketua Masyarakat Iban kawasan Taman Perumahan Bandar Simanggang Penghulu Biju Anggat.- EDISI UKAS