Jerebu Jadi Cabaran, Peniaga Luar Tetap Cekal Terus Cari Rezeki
KOTA SAMARAHAN: Berdepan dengan keadaan jerebu yang menjejaskan kehadiran pelanggan, peniaga luar di Kota Samarahan tetap turun berniaga, menyesuaikan operasi dan mengambil langkah berjaga-jaga demi meneruskan kelangsungan sumber pendapatan.
Salah seorang peniaga, Azid Hamizi Yusuf berkata, keadaan jerebu sememangnya memberikan kesan kepada hasil perniagaan, namun mereka tetap mengambil peluang yang ada untuk meneruskan usaha.
Beliau mengakui, situasi itu membuatkan orang ramai lebih berhati-hati untuk keluar, sekali gus mengurangkan jumlah pelanggan yang mengunjungi lokasi perniagaan.
“Impak memang dari segi kos kami, kerugian semua memang nampaklah. Jadi, kami tetap teruskan usaha perniagaan walaupun jerebu,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Ahad.
Azid pada masa sama menyeru orang awam supaya tidak mengambil ringan keadaan jerebu dan mengutamakan penjagaan kesihatan, termasuk memastikan pengambilan air yang mencukupi.
Sementara itu, Joni Amin berkata, meskipun jumlah pelanggan berkurang, perniagaan tetap diteruskan seperti biasa untuk kelangsungan hidup.
“Jumlah pelanggan turut berkurangan ketika jerebu, namun kami tetap meneruskan perniagaan seperti biasa,” ujarnya.
Menurutnya, pedih mata dan batuk antara ketidakselesaan yang dialami, namun tempoh operasi disesuaikan mengikut keadaan, termasuk mengemas peralatan perniagaan pada sebelah petang.
Laporan Cuaca Panas Terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang dikemas kini pada jam 2 petang menunjukkan bahawa IPU Samarahan berada pada bacaan 169 atau kategori tidak sihat.-EDISI UKAS