DBKU Disaran Perkukuh Kerjasama Dengan PBT Indonesia Tangani Jerebu
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) disaran menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Indonesia bagi meningkatkan kesedaran dan mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, kerjasama antara PBT kedua-dua negara merupakan antara pendekatan yang boleh diterokai bagi menangani isu berkenaan.
Beliau mencadangkan DBKU menjalinkan hubungan dengan Pemerintah Kota dan Pemerintah Kabupaten di kawasan berdekatan seperti Pontianak, Singkawang dan Sambas, termasuk melalui hubungan bandar raya kembar.
“Saya rasa salah satu lagi caranya, kita boleh menggunakan cara lebih mesra dan ini saya beri cabaran kepada DBKU, iaitu untuk bekerjasama dengan badan-badan perbandaran ataupun apa dipanggil di Indonesia, wali-wali kota, untuk bekerjasama.
“Wali Kota Sambas, Wali Kota Singkawang, Wali Kota Pontianak dan sebagainya untuk bekerjasama cara bagaimana kita boleh mencari penyelesaian untuk meningkatkan kesedaran kepada pihak di sebelah sana untuk mengurangkan sedikitlah aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘World Cleanup Day’ DBKU 2026 di Dewan Sepakat Jaya, Demak Laut, pada Ahad.
Datuk Dr Hazland menambah, pendekatan sama boleh diperluaskan bukan sahaja kepada DBKU, malah melibatkan pihak berkuasa tempatan lain di Sarawak termasuk kawasan Serian yang turut terkesan akibat jerebu.
Sementara itu, World Cleanup Day anjuran DBKU yang dilaksanakan sejak 2021 bertujuan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran serta memupuk tanggungjawab bersama.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ‘plogging’, pameran kreatif berasaskan bahan kitar semula, reka cipta permainan interaktif, sukaneka untuk kanak-kanak dan warga emas serta ‘Flea Market’.
Menerusi aktiviti ‘plogging’ yang dijalankan pada sebelah pagi, sebanyak 434.68 kilogram sampah berjaya dikumpulkan sekali gus mencerminkan komitmen dan semangat kerjasama masyarakat dalam memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan selesa.
Hadir sama, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman. -EDISI UKAS