Pendidikan Pemacu Masa Depan Generasi Muda Sarikei
SARIKEI: Usaha menggalakkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan generasi muda perlu diteruskan sebagai langkah membina masa depan lebih baik, selain memastikan nilai kekeluargaan dan budaya masyarakat terus dipelihara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pemberian insentif kepada pelajar cemerlang merupakan satu bentuk penghargaan terhadap usaha dan kesungguhan mereka dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau, pendidikan memainkan peranan penting dalam memberikan peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan kehidupan lebih baik serta mencapai masa depan lebih cerah.
“Pelajar-pelajar perlu menghargai peluang pendidikan yang diberikan dan terus berusaha mencapai kecemerlangan supaya dapat membalas jasa keluarga serta menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan dan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang anjuran Persatuan Klan Lee Sarikei Sarawak di sebuah restoran, di sini, pada Sabtu.
Dato’ Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas usaha Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak.
Beliau berkata, usaha memperkukuh persekitaran pendidikan di Sarikei termasuk meningkatkan sumber dan kemudahan pembelajaran penting bagi memastikan setiap anak mendapat peluang yang adil untuk mencapai cita-cita.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Klan Lee Sarikei bagi kegunaan aktiviti tahunan persatuan. -EDISI UKAS