MUKAH: Seramai 34 belia daripada enam kelab di Bahagian Mukah diperkasa dengan kemahiran pengurusan organisasi dan kepimpinan menerusi Program Pengurusan Organisasi (PPO) Peringkat Bahagian Mukah 2026.
Program tiga hari yang berlangsung dari 18 hingga 20 September di Kem Belia Mukah itu memberi pendedahan praktikal kepada peserta dalam mengurus persatuan, merancang aktiviti serta melaksanakan program secara lebih sistematik dan berkesan.
Lima modul utama yang disediakan merangkumi Kepimpinan dan Kemahiran Komunikasi, Penyediaan Kertas Kerja dan Pengurusan Kewangan, Pengurusan Mesyuarat dan Dokumentasi, Kembara PPO serta Pembentangan Kumpulan.
Pengisian tersebut memberi penekanan kepada kemahiran yang diperlukan dalam pengurusan organisasi, selain membentuk disiplin, keupayaan berkomunikasi dan kebolehan bekerja secara berkumpulan dalam kalangan peserta.
Majlis penutupan program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Ahad.
Peserta terdiri daripada Kelab Rakan Muda Mukah, Kelab Rakan Muda Igan, Kelab Rakan Muda Tanjung Manis, Kelab Belia Kampung Medong Dalat, Belia GIATMARA Mukah dan Belia Mukah.
Pendedahan berkenaan diharap dapat membantu peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam pengurusan organisasi masing-masing, sekali gus meningkatkan keupayaan belia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di Bahagian Mukah.-EDISI UKAS