RM10,000 Geran Perkasa Aktiviti Seni Tari Persatuan Tarian Bintangor
MERADONG: Persatuan Tarian Bintangor menerima geran khas RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti seni tari, kebudayaan dan kemasyarakatan persatuan.
Geran berkenaan masing-masing berjumlah RM5,000 disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Datuk Ding berkata, sokongan berkenaan penting bagi membantu persatuan meneruskan aktiviti seni tari, di samping menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan muda dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
Menurut beliau, seni tari bukan sekadar bentuk persembahan, malah merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Makan Malam Silaturahim Seni Tari anjuran Persatuan Tarian Bintangor di Christus Lumen Mundi Hall, di sini, pada Sabtu.
Katanya, aktiviti seni tari turut menyediakan ruang kepada masyarakat pelbagai peringkat umur untuk berinteraksi, berkongsi minat dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Dalam pada itu, Datuk Ding menghargai komitmen Persatuan Tarian Bintangor yang aktif menganjurkan aktiviti berkaitan seni tari serta mengambil bahagian dalam pelbagai program kemasyarakatan.
Beliau berharap sokongan berterusan daripada pelbagai pihak dapat membantu persatuan memperluas penglibatan golongan muda, sekali gus memastikan perkembangan seni dan budaya di Bintangor terus mempunyai kesinambungan.
Turut hadir, Kapitan Law Ing Liong yang mewakili Dato Sri Huang Tiong Sii serta Pengerusi Persatuan Tarian Bintangor merangkap Pengerusi Pengelola, Wong Hung Choo.-EDISI UKAS