Lebih 400 Penduduk Baleh Sertai Sesi Libat Urus Bersama Pemimpin
BALEH: Lebih 400 penduduk menyertai dua sesi Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Abu, Nanga Serian dan Rumah Ajut, Nanga Semawang, Baleh bagi menyampaikan pandangan serta perkara yang menjadi keutamaan masyarakat kepada pemimpin.
Timbalan Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pendekatan bersemuka bersama masyarakat penting bagi membolehkan pandangan serta keperluan penduduk didengar secara langsung.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Hulu Rajang itu diadakan di Rumah Abu, Nanga Serian pada sebelah pagi dan Rumah Ajut, Nanga Semawang pada sebelah petang pada Sabtu.
Sesi di Rumah Abu menghimpunkan kira-kira 200 penduduk, manakala sesi di Rumah Ajut disertai sekitar 230 orang.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan memberi ruang kepada penduduk untuk beramah mesra selain menyampaikan pandangan dan perkara yang menjadi keutamaan masyarakat di kawasan masing-masing.
Pendekatan libat urus secara langsung itu turut menghimpunkan ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat bagi mengeratkan hubungan antara kepimpinan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, program berkenaan mencerminkan usaha berterusan Pusat Khidmat Masyarakat Hulu Rajang untuk mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keperluan masyarakat di kawasan Baleh.-EDISI UKAS