Ketua Kaum Perlu Bijak Buat Keputusan, Pastikan Pembangunan Diteruskan
SRI AMAN: Ketua Kaum yang terdiri daripada Tuai Rumah, Ketua Kampung dan Kapitan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang digesa agar bijak membuat keputusan demi memastikan pembangunan di kawasan penempatan mereka dapat diteruskan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sokongan Ketua Kaum penting bagi memastikan usaha pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
"Sekiranya semua Ketua Kaum berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak maka nescaya projek pembangunan merangkumi kemudahan infrastruktur serta kemudahan asas akan terus datang ke penempatan mereka dan seterusnya menguntungkan rakyat.
"Keadaan sebaliknya boleh berlaku jika mereka bertindak melawan arus. Oleh yang demikian, saya berharap agar Ketua Kaum mengambil tindakan wajar dengan terus menyokong Kerajaan Sarawak demi kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Jilir Itar ketika merasmikan Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Julia Bayang, Sengkuang Ulu, Batu Lintang, Undop di sini, pada Sabtu.
Datuk Francis yang juga ADUN Simanggang menasihati Ketua Kaum agar sentiasa menjalin hubungan baik dengan wakil rakyat serta agensi kerajaan bagi memastikan keperluan rakyat dapat disampaikan dan diberi perhatian sewajarnya.
"Ketua Kaum berperanan sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kerajaan dengan mereka ini perlulah sentiasa proaktif menyampaikan maklum balas serta keperluan rakyat agar setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Justeru, sokongan padu daripada Ketua Kaum akan memperkukuh usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih serta prasarana pendidikan yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar," ujarnya.
Pada program tersebut, Jilir turut mewakili Datuk Francis merasmikan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Menurap Jalan Akses bernilai RM200,000 dan Projek Naik Taraf Gelanggang Sepak Takraw bernilai RM150,000 yang telah siap dilaksanakan di Rumah Julia Bayang.-EDISI UKAS