Wanita Berpotensi Capai Penyertaan Lebih Tinggi Dalam Kepimpinan
KUCHING: Golongan wanita berpotensi mencapai tahap penyertaan lebih tinggi dalam bidang kepimpinan menerusi peluang dan ruang yang lebih luas untuk tampil dan mengetengahkan keupayaan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, penetapan sasaran penyertaan wanita tidak seharusnya dilihat sebagai had kepada penglibatan mereka dalam kepimpinan.
“Kita selalu dengar 30 peratus, 30 peratus (penyertaan wanita dalam kepimpinan), mengapa kita menetapkan had untuk diri sendiri? Kita sepatutnya mempunyai seramai-ramai yang bolehlah.
“Jadi, macam apa yang kita ada hari ini, PERANTIS ini ialah salah satu daripada program yang kita boleh mengatasi masalah yang mana wanita bekerjaya itu hanya 56.6 peratus di Persekutuan dan kita telah diletakkan 60 peratus untuk 2030.
“Bagi sayalah sebagai pemimpin wanita, jika kita memberi peluang kepada mereka untuk memimpin, itu juga boleh mencapai lebih daripada 30 peratus dan mungkin kita boleh mencapai 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran WIBAWA Women Leadership Circle dan Program Power and Presence: Imej, Ketrampilan dan Autoriti Pemimpin Wanita Malaysia 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pada Isnin.
Terdahulu semasa berucap, Dato Sri Nancy menjelaskan, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) merupakan antara inisiatif yang membantu menangani cabaran penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
Katanya, ia menjadi platform untuk melatih dan membimbing wanita supaya lebih bersedia mengambil peranan dalam pelbagai bidang kepimpinan, termasuk politik.
“Sehingga Ogos 2026, seramai 3,375 peserta telah dibimbing oleh 78 tokoh wanita dalam pelbagai bidang.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi membuktikan bahawa apabila wanita diberikan platform dan bimbingan yang tepat, bakat mereka dapat diasah, hala tuju dapat dibentuk dan seterusnya membuka peluang pekerjaan, keusahawanan serta peningkatan pendapatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai wanita agar tampil menyertai program kepimpinan bagi mendapatkan pendedahan serta membina keupayaan untuk memainkan peranan dalam bidang masing-masing.-EDISI UKAS