Karya Dijana AI Cabar Takrif Hak Cipta, Undang-Undang Perlu Diperinci
KUCHING: Kemajuan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan menuntut penelitian semula kerangka perundangan bagi memperjelas hak pemilikan karya dan royalti apabila sesuatu hasil kreatif tidak lagi dihasilkan sepenuhnya oleh manusia.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perkembangan teknologi berkenaan menimbulkan persoalan baharu mengenai sejauh mana perlindungan undang-undang boleh diberikan terhadap karya yang dihasilkan dengan bantuan AI.
Menurut beliau, perkara itu perlu diperincikan bagi menentukan hak pemilikan dan perlindungan hak cipta terhadap hasil karya yang melibatkan AI, termasuk karya yang hanya sebahagiannya dihasilkan menggunakan teknologi berkenaan.
“Mungkin akan ada penambahbaikan kepada undang-undang supaya hasil karya tidak lagi sepenuhnya dihasilkan manusia, sebaliknya sebahagiannya melibatkan kecerdasan buatan.
“Jadi, perkara ini perlu ditakrifkan dalam undang-undang supaya semua pihak dapat menikmati hak cipta terhadap hasil karya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak Media Workshop 2026 di TEGAS Digital Village di sini pada Isnin.
Datuk Abdullah menambah, persoalan sama turut meliputi penghasilan lagu, drama, produksi dan video menggunakan AI, khususnya dalam menentukan pihak yang berhak memiliki karya serta menerima royalti sekiranya kandungan berkenaan digunakan semula.
Beliau turut menekankan keperluan pengamal media memahami perkembangan AI yang dijangka terus mempengaruhi landskap penghasilan kandungan, di samping mengambil kira aspek peraturan, garis panduan dan sensitiviti dalam penyampaian maklumat.
Katanya, peranan media bukan sekadar menyampaikan berita yang tepat kepada masyarakat, malah menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat dengan menyalurkan isu serta keperluan komuniti kepada pemimpin untuk pertimbangan dasar.
Sementara itu, Datuk Abdullah berkata Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merancang memperluas pendedahan berkaitan AI dan ekonomi digital ke kawasan luar bandar menerusi pendekatan bengkel yang lebih mudah difahami masyarakat setempat.
Katanya, sekitar 55 hingga 60 peratus kawasan di Sarawak masih dikategorikan sebagai luar bandar dan masyarakat di kawasan berkenaan turut menunjukkan minat untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital.
“Pendedahan mengenai AI tidak seharusnya tertumpu kepada warga media sahaja, sebaliknya perlu diperluas kepada masyarakat bagi membolehkan mereka memahami perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan dan bidang pekerjaan.
“Kerjasama antara kerajaan, komuniti AI dan pelbagai pihak berkaitan penting bagi mempercepatkan usaha meningkatkan kefahaman mengenai ekonomi digital serta penggunaannya dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali yang mewakili Pengarah UKAS, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Udin Bujang, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Kuching, Mathew Manyin Rengga @ Mohd Mu’izzuddin Rengga, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo.-EDISI UKAS