370 Peserta Dari 11 Bahagian Terima Manfaat Program LIFE Bagi Tempoh 2023 hingga 2025
KUCHING: Seramai 370 peserta dari 11 bahagian di seluruh Sarawak menerima bantuan menerusi Program Low Income Family Empowerment (LIFE) bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan menerusi bantuan peralatan yang disesuaikan dengan aktiviti penjanaan pendapatan masing-masing.
“Program LIFE merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan melalui bantuan peralatan yang disesuaikan dengan aktiviti penjanaan pendapatan masing-masing.
“Bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 370 peserta dari 11 bahagian di seluruh Sarawak telah menerima bantuan melalui program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, di sini, pada Isnin.
Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching merupakan sebuah pertubuhan komuniti yang ditubuhkan dengan sokongan Jabatan Penjara Negeri Sarawak bagi membantu prospek membina sistem sokongan serta memulihkan kehidupan mereka untuk kembali menyertai masyarakat.
Dato Sri Fatimah menambah, keberkesanan program tersebut turut dinilai berdasarkan keupayaan peserta meneruskan aktiviti penjanaan pendapatan dan menjadi lebih berdikari.
Dalam pada itu, beliau menghargai peranan Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching dalam memantau dan menyokong perkembangan peserta bagi membantu mereka meneruskan serta mengembangkan aktiviti penjanaan pendapatan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pejabat daerah, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi komuniti bagi memastikan peserta terus mendapat sokongan yang diperlukan.
Dato Sri Fatimah berharap kerjasama tersebut dapat diteruskan bagi memastikan manfaat Program LIFE dapat dirasai secara berterusan oleh peserta dan keluarga mereka, di samping menggalakkan peserta meningkatkan kemahiran, menggunakan bantuan yang diterima dengan sebaik-baiknya serta terus berusaha menjana pendapatan yang lebih baik dan memperbaiki kehidupan keluarga.
Kunjungan tersebut diketuai Penguasa Penjara Saiful Mohamad, Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, bersama Pengerusi Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Adillah Ismail.
Turut hadir empat prospek Program LIFE yang berkongsi perkembangan dan pengalaman masing-masing dalam bidang fotografi, pastri dan katering serta jahitan.-EDISI UKAS