KMKK Pakan Digesa Perkasa Penglibatan Masyarakat Di Akar Umbi
PAKAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Pakan digesa mempergiat peranan sebagai penggerak masyarakat di peringkat akar umbi dengan memperbanyakkan aktiviti yang menggalakkan interaksi, kerjasama dan penyertaan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata pendekatan lebih proaktif dalam menghidupkan kegiatan komuniti penting bagi memastikan masyarakat terus mempunyai ruang untuk berkumpul, bertukar pandangan dan melaksanakan usaha bersama.
Menurut beliau, peranan KMKK tidak seharusnya terhad kepada pengurusan hal ehwal masyarakat, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penglibatan aktif dalam merancang dan menggerakkan pelbagai kegiatan di kampung masing-masing.
“KMKK perlu sentiasa mencari ruang untuk menghidupkan kegiatan di kampung masing-masing supaya masyarakat mempunyai lebih banyak peluang untuk berkumpul, berinteraksi dan bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan anjuran KMKK Sugai di Dewan Masyarakat Pakan, pada Ahad.
Tan Sri William Mawan yang juga Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) menambah, penglibatan masyarakat secara berterusan dalam aktiviti setempat turut membantu memperkukuh hubungan komuniti serta membuka ruang mengenal pasti perkara yang boleh diusahakan secara bersama.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan KMKK dan masyarakat supaya menjadikan aktiviti kemasyarakatan sebagai wadah untuk memelihara keunikan budaya dan warisan Pakan agar terus dikenali serta dihargai oleh generasi muda.
Katanya, usaha mengetengahkan budaya tempatan perlu diperkasakan melalui program dan penglibatan masyarakat secara berterusan bagi memastikan warisan tersebut tidak terpinggir dalam arus perubahan sosial.
Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan perpaduan, sikap saling menghormati dan kerjasama sebagai asas dalam setiap usaha pembangunan masyarakat.-EDISI UKAS