Program Heritage Glow Perkasa Pendedahan Belia Terhadap Warisan Rumah Panjang
MERADONG: Program Project Heritage Glow: Discovering Longhouse Culture memberi pendedahan secara langsung kepada golongan belia mengenai kehidupan, adat resam dan budaya masyarakat rumah panjang sebagai usaha memperkukuh penghargaan terhadap warisan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pengalaman berinteraksi secara langsung bersama komuniti rumah panjang membolehkan peserta memahami budaya dan tradisi masyarakat dengan lebih dekat.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi pengetahuan, tetapi turut membuka ruang kepada golongan belia untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program anjuran Junior Chamber International (JCI) Sarikei di Rumah Kichu, Sungai Mador, pada Ahad.
Menurut beliau, rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, malah merupakan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat Sarawak yang mencerminkan nilai kekeluargaan, kerjasama, saling menghormati serta kehidupan bermasyarakat.
Katanya, pendedahan seumpama itu penting dalam memastikan generasi muda tidak hanya mengetahui tentang kepelbagaian budaya Sarawak, tetapi turut memahami nilai dan tradisi yang membentuk kehidupan komuniti.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii menyalurkan geran khas RM3,000 kepada JCI Sarikei bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan belia, kemasyarakatan dan pemeliharaan warisan budaya.
Datuk Ding berharap program seumpama itu dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai golongan belia dan komuniti setempat supaya pendedahan terhadap warisan serta budaya Sarawak dapat diperluas.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang program untuk meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian budaya serta membawa nilai tersebut dalam kehidupan bermasyarakat.-EDISI UKAS