BINTULU: Projek pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn di sini dijangka siap pada Julai 2027.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sasaran berkenaan diberikan pihak kontraktor selepas mengambil kira beberapa isu yang menjejaskan pelaksanaan projek sebelum ini, termasuk kelewatan pemindahan utiliti.
“Kita menerima cadangan pihak kontraktor untuk menyiapkan projek ini pada Julai tahun depan.
“Namun, sekiranya dapat disiapkan lebih awal, khususnya sebelum Gawai, ia adalah lebih baik," ujarnya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek jejambat berkenaan di sini, pada Isnin.
Dato Sri Alexander Nanta menambah, projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada 2024, namun telah menerima tiga lanjutan masa (EOT) berikutan beberapa kekangan di tapak pembinaan.
Menurutnya, antara isu yang dikenal pasti ialah kelewatan utiliti selain masalah berkaitan akses keluar masuk utama ke kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.
“Isu berkaitan akses keluar masuk utama ke kawasan IPD telah dikenal pasti dan penyelesaian telah dipersetujui.
“Pihak kontraktor juga memberi keyakinan bahawa keseluruhan projek ini dapat disiapkan pada tahun depan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut sasaran yang ditetapkan.
Tambahnya, sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan tanpa lanjutan masa yang diluluskan, ganti rugi kelewatan (LAD) akan dikenakan mengikut peruntukan kontrak.
“Sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan tanpa lanjutan masa yang diluluskan, ganti rugi kelewatan akan dikenakan mengikut terma dan syarat kontrak," ujarnya.
Projek bernilai RM135 juta itu melibatkan jajaran sepanjang 2.6 kilometer, termasuk pembinaan jejambat empat lorong dua hala, kerja menaik taraf jalan sedia ada serta penambahbaikan di Persimpangan Medan Jaya dan Persimpangan Taman Tinggi.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 89.05 peratus, manakala tarikh siap semasa adalah pada 15 September 2027. -EDISI UKAS