Sibu Heritage Discovery Run Jadi Platform Terokai Warisan Bandar
SIBU: Sibu Heritage Discovery Run 2026 dijangka menghimpunkan lebih 500 peserta dari seluruh negara pada 24 Oktober depan, sekali gus menjadikan larian sejauh lima kilometer (5KM) itu sebagai platform meneroka warisan, sejarah dan mercu tanda ikonik bandar Sibu.
Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu, Maria Nadja Jimmy Jalil, berkata setakat ini seramai 291 peserta dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kuching, Miri, Bintulu serta komuniti tempatan telah mengesahkan penyertaan.
Menurut beliau, konsep larian santai berteraskan warisan itu memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman meneroka lokasi bersejarah Sibu sambil menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.
“Pasport Warisan Interaktif” diperkenalkan sebagai antara tarikan utama apabila peserta perlu mengumpul cap ingatan di setiap pusat pemeriksaan warisan bagi melayakkan mereka menerima pingat penamat serta menyertai cabutan bertuah.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Sibu Heritage Discovery Run 2026 di Pejabat Residen Bahagian Sibu, di sini, pada Isnin.
Larian yang bermula pada jam 6 pagi itu akan melalui beberapa lokasi utama termasuk Sibu Gateway, Tokong Tua Pek Kong, Sibu Rejang Esplanade, Pusat Warisan Sibu dan Dataran Sibu, sekali gus memberi pengalaman kepada peserta untuk mengenali sejarah serta identiti bandar tersebut sepanjang laluan.
Penganjuran julung kali oleh Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak (MAHSC) dengan kerjasama DTTG Sibu itu turut diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam pada itu, sebanyak 500 hadiah berkaitan perhotelan dan hospitaliti disediakan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bersama ahli hotel di seluruh negara, merangkumi baucar penginapan, baucar tunai hotel, baucar makanan dan minuman serta pelbagai pengalaman hospitaliti.
Secara keseluruhan, penganjur menjangkakan kira-kira 600 orang terdiri daripada peserta, penonton, sukarelawan dan rakan kerjasama akan terlibat dalam acara tersebut.
Yuran pendaftaran awal ditetapkan RM50 seorang sehingga 1 Oktober 2026, manakala yuran pendaftaran biasa ialah RM80 seorang dan ditutup pada 10 Oktober 2026.-EDISI UKAS