Sarawak Digital Champion Perkasa Usahawan Samarahan Melalui Teknologi Digital
KOTA SAMARAHAN: Program Sarawak Digital Champion yang dianjurkan di NADI Kampung Tanjung Bundung berjaya menarik penyertaan lebih 60 peserta, sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan teknologi digital dalam perniagaan.
Program diadakan sebulan sekali dari Mei hingga September 2026 itu ditaja sepenuhnya oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sebagai rakan penyampaian yang menyasarkan usahawan sedia ada serta individu yang berhasrat memulakan perniagaan.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada penggunaan pelbagai bahan dan platform digital bagi memudahkan urusan perniagaan serta pemasaran produk dan perkhidmatan, selain diberi pengetahuan berkaitan keselamatan siber dan ciri-ciri penting dalam mengembangkan perniagaan.
Jurulatih program, Ts. Mohd Khairulazwan Sulaiman yang juga Sarawak Digital Champion Daerah Samarahan dan Jurutera Perisian, berkongsi pengalaman serta kemahiran dalam membantu proses pendigitalan perniagaan dan syarikat.
Melalui program tersebut, masyarakat Samarahan khususnya golongan usahawan dan bakal usahawan diharap dapat memanfaatkan teknologi digital untuk membangunkan serta mengembangkan perniagaan, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan di daerah berkenaan.
Para usahawan dan bakal usahawan di Samarahan juga dialu-alukan untuk menyertai komuniti digital berkenaan dengan menghubungi NADI Kampung Tanjung Bundung bagi mendapatkan maklumat mengenai program-program seumpama itu pada masa akan datang.-EDISI KHAS