Program LIFE Bantu Peserta Tingkat Pendapatan, Taraf Kehidupan
KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan pertubuhan komuniti terus diperkukuh bagi memastikan peserta Program Low Income Family Empowerment (LIFE) mendapat sokongan berterusan untuk meningkatkan pendapatan serta taraf kehidupan melalui satu kunjungan hormat Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Penguasa Penjara Saiful Mohamad, Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, bersama Pengerusi Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, Adillah Ismail di sini, pada Isnin.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan melalui bantuan peralatan yang disesuaikan dengan aktiviti penjanaan pendapatan masing-masing.
Kunjungan tersebut turut melibatkan empat peserta LIFE yang berkongsi perkembangan dan pengalaman masing-masing dalam bidang fotografi, pastri dan katering serta jahitan, selain merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, seramai 370 peserta dari 11 bahagian di seluruh Sarawak telah menerima bantuan melalui Program LIFE bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan kejayaan program bukan sahaja diukur berdasarkan bantuan yang disalurkan tetapi turut melihat kemampuan peserta meneruskan aktiviti penjanaan pendapatan dan berdikari.
Melalui kunjungan tersebut, beliau turut menyatakan penghargaan peranan Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching dalam memantau serta menyokong perkembangan peserta, selain menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan, Pejabat Daerah, agensi berkaitan, NGO dan organisasi komuniti bagi memastikan peserta menerima sokongan yang diperlukan untuk mengembangkan usaha masing-masing.
Dato Sri Fatimah turut berharap kerjasama tersebut dapat diteruskan bagi memastikan manfaat Program LIFE dapat dirasai secara berterusan oleh peserta dan keluarga mereka, di samping menggalakkan peserta meningkatkan kemahiran serta menggunakan bantuan yang diterima dengan sebaik-baiknya.-EDISI UKAS