Kejohanan E-Sukan Sibu Perkasa Bakat, Ekosistem Digital Belia
SIBU: Kejohanan Esports Sibu 2026 bakal membuka ruang kepada belia mengembangkan bakat dan kemahiran dalam bidang e-sukan menerusi penyertaan sehingga 64 pasukan dari pelbagai bahagian di Sarawak.
Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu, Maria Nadja Jimmy Jalil, berkata kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM15,000 itu menjadi platform kompetitif untuk pemain menguji kebolehan, strategi dan kerjasama pasukan dalam suasana pertandingan sebenar.
“Kejohanan ini menjadi platform kompetitif untuk pemain tempatan menguji kebolehan, strategi permainan dan kerjasama pasukan di samping menimba pengalaman bertanding dalam suasana kejohanan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, kejohanan yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini di Hotel RH Sibu itu mempertandingkan dua permainan mudah alih utama, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG MOBILE dengan sasaran 32 pasukan bagi setiap kategori.
Sehingga 20 September lalu, pendaftaran telah mencapai 34 peratus daripada keseluruhan kuota, membabitkan 10 pasukan bagi MLBB dan 12 pasukan bagi PUBG MOBILE.
Penyertaan turut melibatkan pasukan dari Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei, Bintangor, Mukah, Daro, Pakan, Tatau, Bintulu, Miri, Marudi dan Sibu, menunjukkan penglibatan pemain dari pelbagai kawasan di Sarawak.
Maria berkata, penganjuran oleh DTTG Sibu dengan kerjasama Kelab E-Sukan Daerah Sibu (SDEC) dan MOONTON Games itu diadakan sempena TechUnity 2026 bagi memperluas ekosistem sukan elektronik dalam kalangan belia di Sibu dan kawasan tengah Sarawak.
Kejohanan berkenaan turut menjadi antara acara tumpuan TechUnity 2026 yang menggabungkan elemen teknologi, inovasi digital, e-sukan dan pembangunan komuniti belia.-EDISI UKAS