Mesyuarat Pertama Wisma Melayu Sarawak Selaras Pengurusan, Operasi
KUCHING: Penyelarasan pengurusan, operasi dan pembangunan Wisma Melayu Sarawak menjadi tumpuan Mesyuarat Pengurusan Wisma Melayu Sarawak yang diadakan buat julung kalinya pada Isnin.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Wisma Melayu Sarawak.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan premis bagi memastikan pengurusan dapat dilaksanakan secara teratur, profesional dan berkesan selaras dengan peranan serta fungsi yang telah dirancang.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi AKYBMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Pelaburan Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Datu Abdul Razak Tready, Bendahari Kushairi Johan serta Pengerusi Jawatankuasa Politik Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Budaya dan Kesenian Datuk Abdul Wahab Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Datuk Dr. Wahbi Junaidi.-EDISI UKAS