FHOW 7.0 perkukuh keharmonian komuniti pelbagai agama di Miri
MIRI: Program Friendly Houses of Worship (FHOW) 7.0 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan, komunikasi dan kepercayaan antara rumah ibadat serta komuniti pelbagai agama di bahagian ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menghubungkan rumah ibadat dengan kerajaan, malah lebih signifikan dalam membina persahabatan erat sesama komuniti agama.
“Pendekatan ini amat relevan di Miri yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya yang hidup bersama sebagai satu komuniti,” katanya mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian pada program tersebut di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Beliau menambah, FHOW turut berperanan membina jaringan kerjasama di peringkat akar umbi dengan memberi ruang kepada peserta memahami budaya dan cabaran komuniti agama lain.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan sesebuah bandar tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekuatan hubungan masyarakat yang saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
Beliau turut menekankan bahawa rumah ibadat memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat sokongan komuniti, khususnya ketika berdepan cabaran.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) telah meluluskan sebanyak 437 projek bernilai RM81.2 juta dari tahun 2017 hingga 2026.
Namun katanya, peranan UNIFOR tidak terhad kepada penyaluran bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan komuniti agama.
Beliau turut menggesa peserta memanfaatkan platform FHOW untuk berkongsi isu dan cabaran di peringkat komuniti, termasuk melibatkan generasi muda dan keharmonian kejiranan.
Program anjuran UNIFOR itu menghimpunkan lebih 200 peserta dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang serta Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau.-EDISI UKAS