Projek Naik Taraf Jajaran Redline Pan Borneo Dipantau Rapi, Sasar Siap Awal 2028
TATAU: Kerajaan komited memastikan Projek Menaik Taraf Jajaran Redline di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (Short Stretch) dilaksanakan mengikut jadual, malah disasarkan siap lebih awal demi manfaat rakyat.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata pemantauan rapi akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memastikan projek berjalan lancar, menepati spesifikasi serta tidak mengalami kelewatan.
Menurut beliau, projek sepanjang 17.1 kilometer itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 16 bulan dengan sasaran siap pada awal tahun 2028.
“Kita mahu projek ini disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, dan kalau boleh lebih awal supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas lawatan turun padang di sini, pada Isnin.
Projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf struktur turapan jalan di sembilan lokasi termasuk Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membaik pulih laluan sedia ada yang sebelum ini tidak termasuk dalam pelaksanaan awal Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo, selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya di laluan bertaraf substandard.
KKR bersama JKR Sarawak akan terus menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan kontraktor mematuhi standard keselamatan, kualiti pembinaan serta garis masa yang ditetapkan.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka menyediakan laluan lebih selesa, selamat dan cekap, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna jalan raya serta penduduk di kawasan terlibat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKR, Dato Sri Azman Ibrahim, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidil Lariwoo, Pengarah JKR Sarawak, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy Morris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong serta Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis.-EDISI UKAS