Jalan Gambier, Main Bazaar, India Street Akan Dizonkan Sebagai Kawasan Warisan Sarawak
KUCHING: Jalan Gambier, Main Bazaar dan India Street akan dizonkan sebagai kawasan warisan Sarawak dalam usaha Kerajaan Sarawak memelihara bangunan, monumen dan tapak bersejarah di kawasan berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kawasan tersebut akan menjadi antara fokus utama melalui inisiatif ‘Old Kuching Heritage (OKSHE)’.
Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai pelbagai bangunan dan monumen bersejarah termasuk Court House, Round Tower, Square Tower, Masjid India dan St. Thomas's Cathedral.
“Jadi, kita akan mewartakan, mengezonkan dan mengenal pasti bangunan-bangunan yang perlu dipulihara dan dipelihara di mana kerajaan akan turut campur dalam perkara ini, termasuk kedai-kedai lama dan kedai-kedai purba.
“Kalau tidak, ia akan dirobohkan ataupun ditukar,” katanya dalam sidang media selepas OKSHE Public Programs Initiative di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, usaha tersebut penting bagi memastikan pembangunan moden di Kuching tidak menjejaskan bangunan, tapak dan monumen yang mempunyai nilai sejarah, termasuk susulan pelaksanaan sistem Transit Aliran Autonomi (ART).
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu usaha tersebut turut mengambil kira model pemuliharaan warisan di Pulau Pinang dan Melaka yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia.
Jelasnya, Sarawak kini ke arah untuk proses tersebut dengan harapan pengezonan, pemuliharaan dan pemeliharaan monumen serta bangunan warisan di kawasan-kawasan yang dizonkan itu selesai membolehkan permohonan dilakukan kepada UNESCO untuk menjadi sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia bagi Kuching.
“Dan insya-Allah, mungkin pada tahun-tahun akan datang daripada Kuching, kita mungkin juga akan melihat bandar atau pekan lain, sekiranya kita dapat sampai ke peringkat itu untuk mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO,” ujar beliau.
Hadir sama, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman, Penasihat OKSHE Datu Dr Sabariah Putit serta kehormat lain. -EDISI UKAS