Undang-Undang Baharu Perlu Diperkenalkan Untuk Kawasan Warisan Di Sarawak
KUCHING: Undang-undang baharu perlu diperkenalkan bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan, monumen, tapak serta bangunan yang mempunyai nilai warisan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perundangan tersebut akan diperkenalkan melalui usaha pengezonan kawasan warisan yang akan dilaksanakan kerajaan.
Namun katanya, sebelum perundangan diperkenalkan, pihak berkepentingan termasuk pemilik premis perlu dilibatkan bagi memastikan mereka memahami kepentingan melindungi aset warisan untuk generasi akan datang.
“Kita tidak boleh begitu sahaja mengambil tindakan tanpa berbincang kerana itu tidak betul.
"Kita perlu mengadakan libat urus dan menerangkan kepada mereka bahawa aset-aset ini akan dilindungi untuk masa hadapan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas OKSHE Public Programs Initiative di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, selepas sesuatu kawasan diwartakan, usaha mencantikkan dan memelihara kawasan berkenaan turut akan diberi perhatian, termasuk aspek landskap dan pokok-pokok yang mempunyai nilai sejarah.
Ujarnya, sekiranya terdapat keperluan untuk membayar pampasan atau melaksanakan kerja-kerja mencantikkan bangunan yang telah diwartakan, perkara tersebut akan turut dipertimbangkan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, terdapat pelbagai aset warisan di seluruh Sarawak yang akan dipertimbangkan untuk pewartaan dan keutamaan akan ditentukan secara berperingkat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pokok kapas di Padang Merdeka antara aset yang dicadang untuk diwartakan sebagai warisan kerana mempunyai nilai sejarah sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
“Pokok kapas di Padang Merdeka itu, malah pada hari pembentukan Malaysia pada 1963, saya melihat pokok kapas itu sudah pun ada. Ia adalah warisan.
"Jika tiada undang-undang atau pewartaan tertentu, pokok itu boleh ditebang,” jelas beliau -EDISI UKAS