SFC Perkukuh Peranan Pemandu Taman Lindungi Khazanah Sarawak
NIAH: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) terus memperkukuh usaha membanteras kegiatan pengambilan dan penyeludupan sumber asli dengan melibatkan komuniti tempatan sebagai barisan hadapan dalam melindungi khazanah biodiversiti negeri.
Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) merangkap Controller Taman Negara dan Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran berkata, pendekatan itu penting susulan beberapa kes pengambilan sumber asli secara tidak sah yang dikesan sepanjang 2025 dan 2026.
Beliau berkata pada 2025, pihaknya menahan enam warga Rusia yang terdiri daripada saintis dan profesor, manakala kes berikutnya melibatkan warga China termasuk pelajar universiti, pensyarah dan saintis.
Katanya, tiga tangkapan turut direkodkan pada 2026 termasuk satu kes sehari sebelum program latihan pemandu taman hari ini.
“Antara sumber yang diambil termasuk orkid, anai-anai, kala jengking, kumbang dan daun tumbuhan.
“Walaupun kita melihat benda itu kecil, pada hakikatnya ia mempunyai nilai yang besar. Jika sumber ini jatuh ke tangan pihak luar, Sarawak boleh kehilangan khazanah semula jadi yang sepatutnya dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Latihan Pemandu Taman di Taman Negara Gua Niah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, kegiatan berkenaan bukan sahaja mengancam sumber asli Sarawak, malah berisiko menyebabkan spesies tempatan dibawa keluar dan tersebar ke luar negara.
Menurutnya, lima ekor orang utan Sarawak pernah dikesan berada di India, manakala spesies orkid yang hanya terdapat di Borneo kini turut diperdagangkan di seluruh dunia dengan nilai mencecah ribuan dolar Amerika Syarikat bagi sesetengah spesies.
Menurut beliau, situasi berkenaan menunjukkan kepentingan penglibatan komuniti tempatan dalam membantu kerajaan melindungi sumber asli Sarawak.
“Inilah inisiatif Kerajaan Sarawak. Kita akan mengambil komuniti-komuniti tempatan untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi melindungi khazanah sumber asli kita daripada dibawa keluar dari Sarawak.
“Jangan kita beranggapan pemandu taman adalah untuk pelancong semata-mata. Anda adalah mata dan telinga kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu taman juga berpotensi dilantik sebagai Honorary Wildlife Ranger di bawah Seksyen 8 Enakmen Perlindungan Hidupan Liar.
Seramai 20 peserta dari Niah, Lambir, Sibuti dan industri pelancongan Miri menyertai latihan pemandu taman sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kapasiti komuniti tempatan.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut menyokong sasaran Sarawak untuk mempunyai 300 pemandu taman profesional di bawah PCDS 2030.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan kapasiti komuniti sekitar Taman Negara Niah, SFC turut merancang membawa kira-kira 30 wakil komuniti, termasuk ahli Special Park Committee, ketua kampung dan pegawai kerajaan, ke Taman Negara Kinabalu, Sabah selama 10 hari bermula 28 Oktober.
Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan tapak warisan dunia serta model pembangunan komuniti yang boleh dipelajari dan disesuaikan untuk Niah.-EDISI UKAS