MIRI: Peruntukan khas sebanyak RM3 juta telah diluluskan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran di kawasan Senadin, termasuk Desa Senadin, Tudan dan Permyjaya.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata peruntukan berkenaan penting bagi memastikan sistem saliran di kawasan terbabit dapat berfungsi dengan baik serta membantu mengurangkan risiko banjir.
Menurut beliau, DID dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan dan sistem saliran secara berkala, khususnya kerja pembersihan tumbuhan air, rumpai dan vegetasi yang tumbuh dengan cepat serta boleh mengganggu aliran air.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembersihan kolam takungan di Jalan Ilmu, Desa Senadin dan Lakeshore Villa bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut meminta DID menyediakan program penyelenggaraan yang lebih menyeluruh melibatkan semua kolam takungan dan saliran utama di bawah seliaannya, termasuk menyediakan senarai kerja penyelenggaraan bagi tempoh dua bulan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama lebih rapat antara DID dan MBM diperlukan dalam kerja-kerja penyelenggaraan saliran, termasuk menangani sampah dan bahan terapung yang masuk ke kolam takungan melalui sistem saliran.
“Vegetasi tumbuh dengan sangat cepat. Oleh itu, kerja pembersihan perlu dilakukan setiap beberapa bulan bagi memastikan kolam takungan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Lee berkata MBM diharap dapat melaksanakan kerja-kerja berkenaan dengan segera, termasuk pembersihan saliran sebelum penghujung tahun.
Beliau turut memaklumkan kerja-kerja pemulihan jalan yang terjejas akibat banjir awal tahun ini sedang dilaksanakan, termasuk menaik taraf keseluruhan Jalan Ilmu dengan kos lebih RM1.4 juta.
Katanya, kolam takungan di Lakeshore Villa, Desa Senadin yang ditinjau berkeluasan kira-kira 12.4 hektar, manakala penyelenggaraan berterusan terhadap kolam takungan, saliran utama dan saliran tepi jalan penting bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan Senadin dan sekitarnya.-EDISI UKAS