MAKSAK Wanita Sarawak Perkukuh Peranan Di Peringkat Bahagian
BINTULU: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Sarawak memberi tumpuan kepada penyelarasan aktiviti kebajikan, sosial dan pendidikan di peringkat bahagian bagi memperluas manfaat kepada ahli serta masyarakat.
Pengerusinya, Dato Baduyah Bujang berkata perkongsian pengalaman dan idea antara pimpinan MAKSAK Wanita Sarawak dengan bahagian penting dalam merancang program yang bersesuaian dengan keperluan ahli.
“Saya berharap melalui perkongsian dan perbincangan kita nanti, kita dapat menyelaraskan perancangan, memperkukuh jaringan serta melahirkan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Exco MAKSAK Wanita Sarawak bersama Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Bilangan 1 Tahun 2026 di Hotel Imperial Bintulu pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan status kewangan terkini serta laporan aktiviti kebajikan, sosial dan pendidikan MAKSAK Wanita Bahagian.
Dato Baduyah menambah pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan di peringkat bahagian, yang mencerminkan komitmen pimpinan MAKSAK Wanita dalam melaksanakan agenda organisasi.
Beliau turut meminta Ahli Exco dan Pengerusi Bahagian mengambil tindakan susulan terhadap keputusan yang dicapai bagi memastikan perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, kerjasama antara MAKSAK Wanita Sarawak dan bahagian perlu diteruskan bagi menjayakan program akan datang, khususnya yang berkaitan kebajikan ahli dan pembangunan komuniti.
Selesai mesyuarat, Baduyah menyampaikan geran tahunan kepada Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sri Aman, Samarahan, Mukah, Betong dan Serian.-EDISI UKAS