Townhall Rakyat Tellian Perkukuh Komunikasi Dua Hala, Perjelas Inisiatif Kerajaan
MUKAH: Sesi Townhall Rakyat Bersama ADUN Tellian pada majlis Hari Bersama Komuniti UKAS 2026 menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat bagi memperjelas pelaksanaan pembangunan serta memperluas pemahaman penduduk terhadap inisiatif dan perkhidmatan kerajaan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, berkata penglibatan masyarakat penting bagi memastikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan dan pembangunan yang sedang serta bakal dilaksanakan dapat disampaikan dengan jelas kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, sesi townhall turut membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan penjelasan secara langsung, mengemukakan soalan, berkongsi pandangan serta menyampaikan perkara yang memerlukan perhatian kerajaan dan agensi berkaitan.
“Sesi townhall ini memberi ruang kepada masyarakat untuk bertanyakan soalan, berkongsi pandangan serta menyampaikan perkara yang dirasakan penting kepada pihak kerajaan dan agensi yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Rakyat Bersama ADUN Tellian pada majlis Hari Bersama Komuniti UKAS 2026 di Dewan Seri Pekala, di sini, pada Isnin.
Royston berkata, kerjasama masyarakat, agensi pelaksana dan kontraktor turut penting bagi menangani cabaran pelaksanaan projek serta memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk.
Sementara itu, Ketua Seksyen Pentadbiran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anwar Hanafi Ardimansyah, berkata program berkenaan merupakan pendekatan turun padang untuk menyampaikan dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat.
Menurut beliau, sesi tersebut turut menyediakan ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan, cadangan, pertanyaan dan maklum balas kepada kerajaan melalui agensi yang terlibat.
Katanya, pendekatan komunikasi dua hala seperti itu penting bagi memastikan penyampaian maklumat kerajaan bukan sahaja berlaku dari kerajaan kepada rakyat, malah membolehkan keperluan dan aspirasi masyarakat disampaikan secara langsung kepada pihak berkaitan.
Dalam program itu, peserta turut mengikuti ceramah daripada 10 penceramah agensi kerajaan selain berpeluang mendapatkan maklumat menerusi pameran yang disediakan.-EDISI UKAS