Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai Kembali Gegarkan Miri
MIRI: Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 kembali menemui warga Sarawak dengan tiga hari penuh hiburan, aktiviti keluarga dan pelbagai pengalaman menarik di Miri Boulevard dari 25 hingga 27 September ini.
Penganjuran itu kembali ke Miri selepas 19 tahun sejak kali pertama diadakan di bandar raya berkenaan, sekali gus menjadikan Miri sebagai destinasi hiburan seisi keluarga sepanjang hujung minggu.
Meneruskan legasi selama 23 tahun, KJH turut mencatat sejarah sebagai “Longest Running Outdoor Carnival” yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records, dengan konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan menerusi gabungan aktiviti riadah, persembahan pentas, gaya hidup serta penglibatan komuniti.
Bagi edisi Sarawak Segulai Sejalai 2026, penganjuran kali ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), dengan pengunjung berpeluang mengenali lebih dekat pelbagai agensi di bawah kementerian menerusi pameran, aktiviti interaktif dan inisiatif sepanjang karnival.
Antara pengisian yang disediakan ialah Pertunjukan Ratu Etnik, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge serta sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon drama TV3 seperti Muaz Zabir, Daniel Fong, Nafiz Muaz, Jazmy Juma, Shamim Freida dan Amzar Airil.
Turut diadakan Kids Colouring Contest, Zumba, Jom Lokal Jam serta pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma.
Karnival itu turut menampilkan lebih 160 reruai termasuk reruai Media Prima, agensi di bawah MTCP dan usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), selain penyertaan PERNAS, AFFIN Bank, F&N, Caring Pharmacy, Fearnleaf dan Bursa Malaysia.
Bagi peminat aktiviti sukan, Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP menawarkan kategori 5KM dan 8KM, dengan setiap penyertaan disertakan medal finisher eksklusif, jersi rasmi, tote bag, bib eksklusif serta goodies.
Kategori 5KM turut menawarkan Pakej Keluarga untuk empat orang menerusi satu pendaftaran, selain 50 hadiah cabutan bertuah.
Kemuncak karnival ialah Konsert Jom Heboh Cara U Sarawak Segulai Sejalai 2026 Miri yang dibawakan oleh U Mobile pada 26 dan 27 September.
Persembahan Sabtu menampilkan K.O.I, Nabila Razali, Man Bai, Mary Grace dan Fieya Julia, manakala malam Ahad menampilkan Baby Shima, Rahmad Mega, Nadeera, Lan Solo dan Floor 88.
Warga Miri dan seluruh Sarawak dijemput memeriahkan KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Miri Boulevard dari 25 hingga 27 September 2026, dengan pelbagai aktiviti keluarga, sukan, interaksi bersama personaliti serta persembahan artis di pentas utama. -EDISI UKAS