![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Selasa.
Kunjungan tersebut merupakan sesi perkenalan rasmi pertama Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman selepas dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 berkuat kuasa 1 Februari 2026, selain menjadi platform membincangkan isu keselamatan, pertahanan dan kepentingan strategik Sarawak.
Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menekankan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia, termasuk menangani lebih 80 laluan tidak sah yang berpotensi digunakan bagi kegiatan rentas sempadan.
Beliau turut menyarankan agar keselamatan perairan Sarawak, khususnya di Bintulu, diberikan perhatian, termasuk pertimbangan terhadap cadangan mewujudkan pangkalan tentera laut mengambil kira kepentingan strategik kawasan berkenaan.
Pertemuan turut menyentuh kerjasama serantau dalam menangani jerebu rentas sempadan serta keperluan meningkatkan kesiapsiagaan, perkongsian maklumat dan penyelarasan antara agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menekankan kepentingan meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta penguasaan teknologi dan inovasi pertahanan bagi memperkukuh keupayaan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran luar.
Pada kunjungan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, isteri Panglima Angkatan Tentera, Puan Sri Datin Seri Siti Juana Md Ibrahim, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof bersama isteri, Noor Hamiza Suhami, Komander Muhammad Shahir Salleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Leftenan Kolonel Nasaruddin Khalid Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: Hazrin Sunaini