Projek Naik Taraf Jalan Di Sarikei Giat Dilaksanakan
SARIKEI: Projek menaik taraf Jalan Nyelong By-Pass sepanjang kira-kira 3.6 kilometer sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti trafik, melancarkan aliran kenderaan serta meningkatkan keselamatan pengguna di Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek berkenaan melibatkan pelebaran jalan kepada empat lorong dua hala.
"Projek menaik taraf Jalan Nyelong By-Pass sepanjang kira-kira 3.6 kilometer sedang giat dilaksanakan, melibatkan pelebaran jalan kepada empat lorong dua hala bagi meningkatkan kapasiti trafik, melancarkan aliran kenderaan serta meningkatkan keselamatan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan dan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang anjuran Sarawak 3rd, 6th, 7th Division Ling Clan Association (Sarikei Branch) di SMK St Anthony Sarikei, baru-baru ini.
Dato Sri Huang menambah, selain projek berkenaan, Jalan Penghubung Nyelong By-Pass–Kwong Ming Minah sepanjang kira-kira dua kilometer turut dibina sebagai laluan alternatif.
Katanya, pembinaan laluan tersebut bertujuan memperkukuh jaringan jalan raya, meningkatkan aksesibiliti serta menyokong pembangunan kawasan sekitar.
Beliau juga yakin pelaksanaan projek-projek tersebut akan terus memperkukuh infrastruktur dan jaringan perhubungan, sekali gus membawa Sarikei ke arah pembangunan yang lebih maju. -EDISI UKAS