Integriti Turut Merangkumi Hubungan Sesama Rakan Sekerja
KUCHING: Integriti dalam perkhidmatan awam bukan sahaja berkaitan pematuhan tatakelakuan dan pencegahan salah laku, malah turut merangkumi kejujuran dalam hubungan sesama rakan sekerja.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, nilai tersebut penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif serta memperkukuh kerjasama dalam sesebuah organisasi.
Menurut beliau, warga kerja perlu saling menghormati, berkomunikasi secara jujur, berkongsi maklumat yang diperlukan serta memberikan teguran secara berhemah tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Persekitaran kerja hendaklah positif kerana ia secara langsung memberi ruang kepada inovasi dan meningkatkan motivasi.
“Apabila rakan sepasukan mempunyai motivasi, mereka juga akan lebih terdorong untuk menghasilkan inovasi.
“Hubungan yang baik dalam pasukan pula menjadikan komunikasi lebih jelas, koordinasi lebih lancar dan keputusan dapat dibuat dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, setiap warga kerja juga perlu terbuka dalam menerima pandangan dan teguran, selain memastikan komen yang diberikan kepada rakan sekerja dibuat dengan niat yang jujur, ikhlas dan membina.
Katanya, salah faham dalam kalangan rakan sekerja perlu diselesaikan dengan baik dan tidak dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan kerjasama dalam pasukan.
Beliau berharap budaya kerja berpasukan dan persekitaran yang positif terus diperkukuh bagi menyokong usaha perkhidmatan awam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.-EDISI UKAS