SABERKAS Meradong Perkukuh Pendekatan Prihatin, Dekati Golongan Memerlukan
BINTANGOR: SABERKAS Cawangan Meradong meneruskan pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan masyarakat menerusi kunjungan prihatin dan penyaluran bantuan kepada keluarga yang memerlukan di Rumah Jablin, Sungai Sian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong , Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pendekatan secara langsung penting bagi membolehkan keadaan serta keperluan masyarakat dikenal pasti dengan lebih dekat.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut memberi ruang untuk mendengar sendiri permasalahan masyarakat dan memahami keadaan mereka.
“Kunjungan seperti ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi ruang untuk mendengar sendiri permasalahan masyarakat serta memahami keadaan mereka dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan prihatin serta menyampaikan bantuan kepada Effendy Hani dan keluarganya di Rumah Jablin, Sungai Sian, di sini pada Isnin.
Dalam kunjungan itu, Datuk Ding turut meluangkan masa bertanya khabar serta mendapatkan gambaran mengenai keadaan dan keperluan keluarga berkenaan.
Katanya, semangat prihatin dan saling membantu perlu terus dipupuk dalam masyarakat bagi memastikan golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan tidak terpinggir.
Sehubungan itu jelasnya, SABERKAS Cawangan Meradong akan terus mendekati masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, selain memperkukuh hubungan antara pertubuhan dengan komuniti setempat.
Bantuan yang disampaikan diharap dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu meringankan beban yang ditanggung Effendy dan keluarganya.-EDISI UKAS