Isu Pertapakan 19 Projek Di Kabong Akan Diselesaikan Segera
KUCHING: Isu berkaitan tapak membabitkan 19 projek pembangunan di DUN Kabong dengan peruntukan berjumlah RM49 juta akan diselesaikan agar proses pelaksanaan projek dapat diteruskan mengikut ketetapan.
Perkara itu menjadi fokus Mesyuarat Penyelarasan Pertapakan yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, pada Isnin.
Dato Mohd Chee berkata, isu pertapakan yang dibangkitkan agensi pelaksana Peru diselaraskan segera dengan pihak berkaitan bagi mengelakkan proses pelaksanaan projek berdepan kelewatan.
Beliau turut memberi perhatian terhadap status setiap projek supaya perancangan pembangunan yang telah disenaraikan dapat bergerak ke peringkat seterusnya mengikut proses ditetapkan.
Berdasarkan pembentangan, 19 projek bagi DUN Kabong itu melibatkan 16 projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tiga projek di bawah Majlis Daerah Saratok (MDS), daripada keseluruhan 49 projek yang melibatkan lapan kawasan DUN.
Antara projek yang disenaraikan termasuk pembinaan dan naik taraf fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, pusat penjaja di Pantai Gerigat, Anjung Selera dan homestay Persatuan Nelayan Kawasan Kabong, selain pembinaan terminal bot di Sungai Endot dan Kampung Emplam.
Turut diberi perhatian ialah pembinaan Jeti Nelayan Kampung Gerigat, Dewan Masyarakat Kampung Nyabor, RC Ramp Kampung Hilir Laut serta beberapa dewan masyarakat kampung dan rumah panjang di kawasan Kabong dan Ulu Roban.
Lokasi yang terlibat termasuk Kampung Alit, Kampung Gerigat, Kampung Emplam dan Kampung Sessage serta beberapa rumah panjang di kawasan Kabong dan Ulu Roban.
Dalam pada itu, sebahagian projek masih berada pada status ‘Belum Mohon’, manakala beberapa projek lain ‘Menunggu Kelulusan’, termasuk projek di Pantai Tanjung Kembang, Jeti Nelayan Kampung Gerigat dan RC Ramp Kampung Hilir Laut.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) itu menjadi platform penyelarasan antara pihak berkaitan bagi meneliti status pertapakan serta perkara yang perlu diberi tindakan susulan sebelum projek bergerak ke peringkat pelaksanaan seterusnya.-EDISI UKAS