Inovasi Perlu Diterjemah Kepada Impak Yang Dirasai Rakyat
KUCHING: Inovasi dalam perkhidmatan awam perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak dan manfaat nyata kepada rakyat, bukan sekadar menghasilkan idea atau menyiapkan sesuatu projek.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memberi hasil yang dapat dirasai masyarakat.
Menurut beliau, rakyat tidak melihat proses dalaman sesebuah jabatan, sebaliknya menilai tempoh menunggu, ketepatan keputusan, kejelasan jawapan dan kualiti perkhidmatan yang diterima.
“Rakyat tidak melihat proses. Rakyat tidak tahu proses. Proses A ke B ke C ke D dan sebagainya.
“Mereka melihat tempoh menunggu, jawapan, ketepatan keputusan, kejelasan jawapan dan cara mereka melihat.
“Kita tidak dapat mengajarkan kepada rakyat bahawa prosesnya mesti A, B, C, D dan sebagainya. Bagi mereka, mereka nak jawapan. Mereka nak penjelasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 yang bertemakan ‘Innovating with Integrity, Delivering with Impact’ di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar mengingatkan warga Jabatan Tanah dan Survei supaya menilai semula hasil setiap projek dan program yang dilaksanakan, termasuk sama ada ia benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
Katanya lagi, perubahan ekspektasi masyarakat turut menuntut perkhidmatan awam supaya sentiasa menyesuaikan penyampaian dengan keperluan semasa.
Ujar beliau, perkembangan dunia digital dan kecerdasan buatan (AI) juga telah mengubah cara masyarakat mendapatkan maklumat serta menyuarakan pandangan.
Dalam konteks Jabatan Tanah dan Survei, beliau berkata pengurusan tanah yang cekap, telus dan berintegriti perlu menyokong pelaksanaan projek strategik supaya manfaat pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat.
Pada majlis itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 233 penerima yang diwakili penerima daripada setiap gred, selain hadiah kepada pemenang Video Kempen Integriti yang dimenangi JTS Bahagian Kapit dan Sudut Integriti Terbaik oleh JTS Sibu.
Bagi HIITS IdeaX Challenge 2026, kumpulan Invictus Point dari JTS Sibu muncul sebagai johan menerusi idea “Prismate: Penambahbaikan Prisma/Prism Bagi Meningkatkan Kecekapan dan Konsistensi Kerja Ukur.”
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Datu Zainal Abidin Abdullah, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS