RUKUN NEGARA MENJADI SINDIRAN TANDA SEMANGAT PATRIOTISME NIPIS
Ada sesuatu yang membuatkan masyarakat resah apabila sebuah video lama persembahan teater kembali tular di media sosial. Bukan sekadar kerana ia sebuah persembahan seni. Tetapi kerana dalam persembahan itu, lima prinsip Rukun Negara yang selama ini menjadi lafaz bersama rakyat Malaysia dilafazkan dalam suasana yang didakwa diselitkan dengan sindiran, jenaka dan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum serta identiti negara.
Menurut laporan Bernama, rakaman tersebut dipercayai merupakan pementasan yang pernah dipersembahkan pada tahun 2018 sebelum dimuat naik semula bersempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini. Polis kini menjalankan siasatan berhubung kandungan video berkenaan.
Maka persoalannya bukan lagi sekadar tentang sebuah persembahan teater. Persoalannya ialah tentang maruah simbol dan nilai yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Rukun Negara bukan hanya lima ayat yang dibaca ketika perhimpunan sekolah.
Ia lahir daripada sejarah negara yang penuh dengan luka. Ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 selepas negara melalui tragedi 13 Mei 1969, dengan tujuan membina semula perpaduan dan menjadi asas bersama dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Lima prinsip itu mudah disebut. Kepercayaan kepada Tuhan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Undang-undang. Kesopanan dan Kesusilaan.
Tetapi di sebalik lima baris itu tersimpan sebuah persoalan besar:
Apakah kita masih memahami maknanya? Kita mungkin masih mampu menghafalnya.
Tetapi menghafal tidak semestinya bermakna menghayati.
Kita boleh menyebut Rukun Negara dengan lancar setiap pagi, tetapi dalam kehidupan sebenar masih gagal menghormati perbezaan, gagal menjaga tutur kata, gagal menghormati undang-undang dan gagal memahami bahawa kebebasan datang bersama tanggungjawab.
Inilah perkara yang sepatutnya merisaukan kita. Bukan semata-mata tentang siapa yang berada di atas pentas. Bukan juga tentang menghukum dunia seni atau menutup ruang kreativiti. Seni memang memerlukan kebebasan. Kritikan juga penting dalam sebuah masyarakat demokratik.
Namun kebebasan berkarya tidak bermakna semua perkara yang menjadi asas penyatuan masyarakat boleh diperlakukan tanpa pertimbangan terhadap kesan dan sensitiviti.
Malah Persatuan Teater Malaysia sendiri mengambil pendirian bahawa kebebasan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan asas kenegaraan. Pada masa yang sama, persatuan itu menegaskan bahawa konteks sebenar persembahan perlu diteliti dan sebarang tindakan hendaklah berdasarkan proses undang-undang.
Itulah pendekatan yang matang di mana kita tidak perlu memusuhi seni.
Kita tidak perlu memusuhi anak muda. Sebaliknya, kita perlu bertanya:
Mengapa sebahagian generasi hari ini mungkin semakin jauh daripada makna simbol-simbol kenegaraan?
Adakah kita terlalu lama mengajar patriotisme dalam bentuk hafalan?
Adakah kita terlalu banyak menyuruh anak-anak mengibarkan bendera, tetapi terlalu sedikit menerangkan mengapa bendera itu perlu dihormati?
Adakah kita menyuruh mereka membaca Rukun Negara, tetapi tidak cukup mengajak mereka berbincang tentang sejarah, pengorbanan dan nilai yang terkandung di sebalik setiap prinsip? Soalan-soalan inilah yang lebih penting.
Menariknya, Sarawak sendiri mempunyai banyak pengalaman yang boleh dijadikan contoh.
Masyarakat Sarawak hidup dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Program Jelajah Belia Rukun Negara di Sarawak pada tahun ini misalnya memberi penekanan bahawa Rukun Negara perlu dihayati sebagai falsafah kehidupan, bukan sekadar lafaz rasmi. Program itu turut melibatkan ratusan pelajar dalam pengisian interaktif berkaitan perpaduan dan Rukun Negara.
Malah UKAS sendiri pernah menekankan bahawa semangat patriotisme tidak seharusnya hanya muncul ketika Jalur Gemilang dikibarkan atau lagu kebangsaan dinyanyikan. Pertandingan Tiktok Challenge sempena Hari Malaysia oleh UKAS salah satu cara untuk menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan anak anak muda di Sarawak.
Patriotisme perlu diterjemahkan dalam kehidupan. Selain daripada menghormati undang-undang. Ia dapat menjaga keharmonian.Menghargai kepelbagaian dan menolak kebencian serta meningkatkan ilmu. Sekaligus dapat melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat serta negara.
Maka isu insiden video teater ini sepatutnya menjadi satu wake-up call.
Bukan untuk menuding jari kepada anak muda. Tetapi untuk orang dewasa juga bermuhasabah.
Kita tidak boleh marah kepada generasi muda kerana kurang patriotik jika kita sendiri gagal menjadikan patriotisme sesuatu yang hidup dan bermakna dalam kehidupan mereka. Kita perlu mengajar mereka bahawa mencintai negara bukan bermaksud tidak boleh mengkritik.
Sebaliknya, seseorang boleh mengkritik kerajaan, masyarakat dan institusi dengan penuh keberanian yang lantang tetapi pada masa yang sama tetap menghormati Perlembagaan, undang-undang, kepelbagaian dan nilai bersama.
Itulah patriotisme yang matang. Dan di sinilah peranan media, sekolah, keluarga, penggiat seni, pencipta kandungan dan institusi masyarakat menjadi semakin penting.
Khususnya di Sarawak, UKAS mempunyai ruang yang besar untuk terus memainkan peranan membina naratif patriotisme yang dekat dengan jiwa generasi muda.
Bukan sekadar melalui poster dan ucapan semata-mata tetapi melalui cerita.
Melalui dokumentari. Melalui kandungan digital. Melalui suara anak muda sendiri.
Melalui kisah masyarakat pelbagai kaum yang hidup bersama. Melalui kisah perjuamgan wira wira yang mempertahankan negara.
Kerana rasa cinta kepada negara tidak boleh dipaksa. Ia perlu dibina, difahami dan dirasakan. Anak muda perlu tahu bahawa Malaysia bukan sekadar sebuah nama di peta. Sarawak juga bukan sekadar sebuah wilayah .Di sebalik semuanya ada sejarah, pengorbanan, keluarga, budaya, bahasa, tanah air dan manusia yang membina kehidupan bersama.
Akhirnya, mungkin persoalan paling besar yang harus kita tanyakan bukanlah
“Mengapa mereka mempermainkan Rukun Negara?” Tetapi
“Apa yang telah kita lakukan sehingga generasi selepas kita benar-benar memahami mengapa Rukun Negara mesti dihormati?”
Kerana patriotisme yang sebenar bukan hanya berdiri ketika lagu dimainkan.
Bukan setakat mengibarkan bendera. Bukan sekadar menghafal lima prinsip Rukun Negara. Patriotisme ialah apabila kita memahami bahawa negara ini milik kita bersama.
Dan apabila kita mempunyai sense of belonging yang cukup kuat, kita akan tahu bahawa kebebasan untuk berkarya juga datang bersama tanggungjawab untuk menjaga sesuatu yang jauh lebih besar daripada diri sendiri. Maruah negara. Perpaduan rakyat. Dan masa depan generasi yang akan datang.