Ekspedisi Bukit Mabong Edisi Ke-2 Perkukuh Hubungan Pemimpin Dan Masyarakat
KAPIT: Ekspedisi Bukit Mabong Edisi Ke-2 berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat menerusi sesi dialog secara langsung yang memberi ruang kepada penduduk menyuarakan keperluan dan pandangan.
Penangguhan program diadakan di Rh Ajan, Nanga Apau, Sungai Melinau, Mujong pada Jumaat itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun.
Ia menjadi platform interaksi dan ramah mesra antara Susan dengan penduduk setempat yang turut menyaksikan beberapa pengumuman peruntukan dan pelbagai inisiatif pembangunan bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat di Tunoh.
Dalam ucapannya, Susan merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah dan seluruh penduduk atas kerjasama serta sambutan yang diberikan dalam menjayakan program.
Beliau turut menjelaskan akan membuat laporan berkenaan isu telekomunikasi di Tunoh kepada pihak atasan dalam memastikan penduduk di situ menikmati jaringan telekomunikasi yang baik.
Ujarnya, kawasan Tunoh mempunyai pelbagai potensi dari segi ekonomi dan rekreasi yang boleh dibangunkan.
Pada majlis sama, Susan telah melancarkan aplikasi teknologi bagi memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita serta RM10,000 kepada JKK Rumah Panjang Ajan.
Sementara itu, wakil Biro Wanita dan Tuai Rumah turut mengemukakan beberapa permohonan berkaitan keperluan asas dan pembangunan komuniti bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Hadir sama Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, Timbalan Residen Kapit Robert Liman Deli, Ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil jabatan, Tuai Rumah, wakil-wakil persatuan dan Biro Wanita. - EDISI UKAS