Masyarakat Perlu Ubah Mentaliti, Manfaat Teknologi Dalam Jaga Kebersihan
PAKAN: Masyarakat perlu mengubah mentaliti dan pendekatan dalam menjaga kebersihan dengan memanfaatkan kemajuan teknologi moden bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, sihat dan bebas daripada ancaman penyakit.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom berkata, perubahan pemikiran itu penting kerana perkembangan teknologi kini berlaku begitu pantas dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pengurusan sisa dan kehidupan seharian.
“Mentaliti kita mesti terbuka dan kita perlu mengadaptasikan teknologi moden. Kalau dalam bidang perubatan sahaja teknologi berkembang begitu pantas, begitu juga dalam kehidupan seharian kita yang semakin menggunakan pelbagai peranti dan teknologi digital.
“Jadi, pemikiran dan cara kita juga mesti berubah, termasuk dalam menjaga kesihatan serta kebersihan persekitaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Cuci Malaysia 2026 di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, amalan menjaga kebersihan tidak seharusnya dilakukan sekadar untuk memenuhi tanggungjawab atau dengan sikap ‘asal siap’, sebaliknya perlu menjadi budaya dan amalan berterusan dalam kehidupan masyarakat.
Katanya, pengurusan sampah yang tidak teratur bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan, malah berpotensi mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi agen pembawa penyakit.
“Cara pembuangan sampah juga mesti teratur. Kita perlu memastikan persekitaran sentiasa bersih kerana kebersihan mempunyai kaitan langsung dengan kesihatan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Sri William turut menekankan kepentingan peranan barisan kaunselor masyarakat yang menjadi penghubung dalam menyampaikan suara, pandangan dan keperluan komuniti kepada pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, saluran komunikasi tersebut penting bagi memastikan isu berkaitan kebersihan dan kemudahan masyarakat dapat dikenal pasti serta ditangani secara lebih berkesan.
Tan Sri William turut mengambil contoh kawasan yang telah maju dalam pengurusan sisa buangan, apabila bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sampah kini diproses dan dimanfaatkan sebagai sumber tenaga.
“Di tempat yang sudah maju, sisa buangan bukan lagi semata-mata sesuatu yang perlu dibuang, tetapi boleh dijadikan sumber kuasa. Ini menunjukkan bagaimana teknologi dan perubahan pemikiran boleh memberikan nilai baharu kepada sesuatu yang kita anggap sebagai sampah,” katanya.
Justeru, beliau berharap pelaksanaan Hari Cuci Malaysia dapat menjadi pencetus kepada perubahan sikap masyarakat supaya kebersihan tidak hanya diberi perhatian ketika berlangsungnya sesuatu program, tetapi diteruskan sebagai amalan harian.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) bagi menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan persekitaran serta tanggungjawab bersama dalam mewujudkan komuniti yang sihat dan sejahtera. - EDISI UKAS