1,062 Peserta Terima Lesen Memandu B2 Melalui Program Bantuan DUN N.43 Daro
DARO: Seramai 1,062 calon berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dan Pejabat Daerah Daro.
Program yang bermula sejak penghujung Jun lalu berjaya dilaksanakan sepenuhnya selepas peserta melalui pelbagai peringkat dan proses ditetapkan sebelum layak menerima lesen memandu masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, kejayaan program itu membuktikan komitmen berterusan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam mendapatkan lesen memandu yang menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diharap dapat memudahkan urusan harian penerima, termasuk pergerakan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menjalankan urusan keluarga serta aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
“Semoga lesen yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan benar-benar membantu memudahkan urusan seharian para peserta.
“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua peserta supaya sentiasa berhemah ketika memandu, mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Daro, pads Sabtu.
Dr. Safiee turut menzahirkan penghargaan kepada JPJ Sarawak, Akademi Memandu Setia Sdn. Bhd., Pejabat Daerah Daro serta semua agensi kerajaan dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan program tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, kerjasama erat antara pelbagai pihak amat penting bagi memastikan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Program berkenaan merupakan antara usaha membantu masyarakat setempat mendapatkan lesen memandu Kelas B2, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, wakil Ketua Polis Daerah Matu Daro, Arif Hidayat Darman serta Pemanca Lau Oi Phen. -EDISI UKAS