AI Digunakan Sebagai Alat Tingkat Keupayaan Manusia, Bukan Alih Peranan
SIBU: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sepatutnya dijadikan alat untuk meningkatkan keupayaan manusia menjadi lebih bijak dan kreatif, bukannya mengambil alih peranan manusia.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, masyarakat khususnya golongan muda tidak seharusnya terlalu bergantung kepada AI sehingga menganggap semua maklumat yang dihasilkan teknologi tersebut adalah 100 peratus tepat.
“AI berada di sini untuk kekal dan ia bukan lagi sekadar istilah fiksyen sains namun kita perlu ingat bahawa kitalah manusia, bukannya AI kerana kitalah pencipta AI dan bukannya AI yang mengambil alih peranan kita.
“Kita tidak mahu terlalu bergantung kepada AI sehingga AI bertindak seperti manusia, manakala manusia pula menjadi seperti robot—hanya menerima arahan dan maklumat daripada AI serta mengikutnya secara membuta tuli.
“Itu adalah satu krisis dan perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Forum TechUnity 2026 serta Kejohanan E-Sukan Sibu 2026, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, TechUnity 2026 turut menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mempelajari teknologi serta membina jaringan secara bersemuka.
Menurutnya, sepanjang dua hari penganjuran, acara tersebut menampilkan 30 pameran, empat sesi forum, pertandingan AI, aktiviti rangkaian perniagaan dan pelbagai program lain.
Mengenai Kejohanan E-Sukan Sibu 2026, Datuk Michael berkata e-sukan kini bukan lagi sekadar aktiviti bermain permainan video, sebaliknya merupakan industri yang merangkumi inovasi teknologi, penciptaan kandungan, pengurusan acara, keusahawanan dan pelbagai bidang kreatif lain. -EDISI UKAS