Kebersihan Persekitaran Pemangkin Tarik Lebih Ramai Pelancong
SIBU: Persekitaran pelancongan yang bersih dan menarik disifatkan sebagai pemangkin utama dalam menarik lebih ramai pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, keadaan tersebut turut dapat merancakkan ekonomi setempat menerusi rantaian manfaat kepada peniaga, pengusaha hotel, restoran, pengusaha produk tempatan, pemandu pelancong dan sektor pengangkutan.
“Pelancong bukan sahaja melihat destinasi, hotel atau pusat beli-belah, tetapi turut melihat jalan raya, pasar, tandas awam, taman, kawasan rekreasi dan persekitaran bandar serta kampung.
“Jika persekitaran kita bersih dan terurus, ia akan memberikan pengalaman yang baik kepada pelancong serta mengukuhkan imej Malaysia. Sebab itu, kebersihan bukan perkara kecil. Kebersihan adalah wajah kita dan imej negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Kaunselor Paul Teo dalam Program Hari Cuci Malaysia 2026 di Taman Hui Ning, Lorong Upper Lanang 29, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, program seperti tersebut bukan sekadar aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan, tetapi turut menjadi usaha membina kesedaran, memupuk rasa tanggungjawab dan membudayakan amalan menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, Dato Sri Tiong menegaskan bahawa kebersihan bukan tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab semua pihak.
“Saya berharap program murni seperti ini tidak berakhir selepas aktiviti hari ini selesai. Sebaliknya, biarlah ia menjadi titik permulaan kepada perubahan yang berterusan.
“Kerajaan, PBT, sektor swasta, NGO, sekolah, komuniti dan setiap individu mempunyai peranan masing-masing,” ujarnya. -EDISI UKAS