Taman Negara Niah Pemacu Rantaian Pelancongan Miri-Niah
NIAH: Status Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berpotensi memacu rantaian pelancongan yang menghubungkan Miri, tarikan sepanjang laluan dan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata beliau telah berbincang dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai hala tuju Gua Niah, termasuk usaha mewujudkan program ikonik.
“Salah satu perkara yang pernah disebut oleh Premier Sarawak adalah untuk kita memikirkan bagaimana untuk mengangkat Gua Niah ini mempunyai flagship programme.
“Program itu bukan dibuat sekali sahaja tetapi mesti mempunyai perancangan sekurang-kurangnya lima, 10 hingga 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Latihan Pemandu Taman anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Taman Negara Niah, pada Isnin.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, status UNESCO perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pengunjung dan menjana limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Miri sebagai pintu masuk serta jaringan Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Pesisir membolehkan Taman Negara Niah dihubungkan dengan tarikan pelancongan lain.
“Penglibatan komuniti setempat juga penting bagi memastikan pembangunan pelancongan Gua Niah memberi manfaat ekonomi kepada penduduk sekitar,” katanya.
Berdasarkan rekod SFC, Taman Negara Niah menerima 29,426 pengunjung pada 2025, termasuk 3,329 pelancong antarabangsa, dan dijangka dibuka semula seawal Oktober ini.
Dato Lukanisman berkata, Kursus Pemandu Taman turut memperkukuh penglibatan komuniti dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi dan warisan Taman Negara Niah.
Beliau berharap pemandu taman dapat menjadi duta kecil dalam memperkenalkan sejarah, warisan dan keunikan alam semula jadi Niah kepada pengunjung.
Program Latihan Pemandu Taman itu merupakan antara inisiatif di bawah Program Kampung Angkat MADANI 2026 dengan penglibatan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), sebuah agensi di bawah Kementerian Luar Negeri, sebagai pemilik kampung angkat.
SEARCCT turut menyediakan tajaan penyertaan kursus kepada 15 peserta dari kampung angkat serta kampung sekitar Niah yang terpilih.
Turut hadir Pengurus Besar SFC merangkap Controller Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran, Timbalan Ketua Pengarah SEARCCT, Kementerian Luar Negeri, Ambassador Ilham Tuah Illias, Timbalan Controller Hidupan Liar Sarawak merangkap Timbalan Pengurus Besar Konservasi SFC, Madhan Kiflie, wakil Residen Bahagian Miri, Arshad Shamshu, serta Pengurus Wilayah Miri SFC, Louis Velda Dominic Salon. - EDISI UKAS