Kampung Sagu Nikmati Bekalan Air Lebih Baik Menerusi Projek RM1.7 Juta
SEBUYAU: Penduduk Kampung Sagu kini menikmati sistem bekalan air yang lebih baik menerusi projek menaik taraf saluran paip bernilai kira-kira RM1.7 juta yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Projek sepanjang 6.2 kilometer itu dibiayai sepenuhnya menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Mula dilaksanakan pada Mei 2025, projek berkenaan siap sepenuhnya pada Februari 2026 dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kampung Sagu serta kawasan sekitarnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi menyempurnakan perasmian projek berkenaan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Sagu pada Selasa.
Pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas liputan bekalan air serta meningkatkan keandalan sistem bekalan air di Daerah Sebuyau, khususnya bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar.
Dengan siapnya projek berkenaan, penduduk Kampung Sagu kini mendapat akses kepada sistem bekalan air yang lebih baik dan berterusan, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Jurutera Air Bahagian Samarahan Ts. Adzahari Baini, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Sebuyau Merum Babu, Ketua Masyarakat Kampung Sagu Tr. Lita Godang.-EDISI UKAS