KMKK Perkukuh Penyampaian Pencapaian Inisiatif Kerajaan Sarawak Kepada Rakyat
KUCHING: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam menyalurkan maklumat tepat serta kefahaman jelas khususnya pencapaian inisiatif Kerajaan Sarawak kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penyampaian maklumat tidak seharusnya terhad kepada pengumuman projek atau inisiatif semata-mata.
Menurutnya, lebih penting adalah memastikan KMKK memahami objektif dan dasar yang digariskan oleh kerajaan negeri supaya mesej yang disampaikan kepada masyarakat lebih menyeluruh.
“Bukan sekadar maklumat projek A, B atau C, tetapi yang lebih penting adalah kefahaman tentang hala tuju Sarawak dan objektif YAB Premier.
“Apabila mereka faham, mereka akan bersama-sama memastikan objektif tersebut dapat dicapai serta mengetahui peranan masing-masing dalam menjayakannya,” katanya ketika ditemui media selepas Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pustaka Negeri Sarawak pada Selasa.
Beliau menambah, walaupun tidak semua inisiatif kerajaan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, kesan limpahan atau ‘spillover effect’ diyakini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pemahaman terhadap konsep keseluruhan sesuatu inisiatif amat penting agar masyarakat tidak tersalah tafsir terhadap usaha kerajaan.
Dalam pada itu, Dato Fazzrudin turut menekankan peranan setiap rakyat Sarawak sebagai ‘duta kecil’ dalam memperbetulkan persepsi luar terhadap negeri ini.
Katanya, sama ada KMKK, pelajar, kakitangan kerajaan mahupun individu yang berada di luar Sarawak, semuanya bertanggungjawab menyampaikan gambaran sebenar mengenai pembangunan, budaya dan kehidupan di negeri ini.
“Setiap rakyat Sarawak adalah wakil atau diplomat Sarawak di mana sahaja mereka berada. Peranan ini penting untuk menangani persepsi dan maklumat yang tidak tepat tentang Sarawak,” jelasnya.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, barisan KMKK serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS