Kerajaan Sarawak Terus Perjuang Kebajikan, Pembangunan Rakyat
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan kebajikan rakyat serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, usaha tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri.
"Untuk rekod, kerajaan kita telah pun melaksana inisiatif untuk menjaga kebajikan rakyat Sarawak seperti bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan bantuan Kenyalang Gold Card di samping memperkenal Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk anak-anak Bumi Kenyalang.
"Selain menjaga kebajikan rakyat, kerajaan juga turut melaksana projek mega seperti membina Jambatan Batang Lupar 1 dan 2 di samping memperluaskan rangkaian perhubungan dengan membina Jalan Utama Kedua Sarawak termasuk projek jalan Banting di sini," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Jesi Bintoh pada Majlis Perasmian Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Bukit Begunan di Rumah Maramat, Ran Asal, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, Datuk Mong menyeru rakyat di kawasan Ran dan Punggu dalam DUN Bukit Begunan agar terus memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, supaya usaha pembangunan dan kebajikan rakyat dapat terus diperjuangkan.
Beliau turut menyeru rakyat di kawasan berkenaan supaya mengekalkan perpaduan bagi membantu Kerajaan Sarawak memelihara kestabilan politik negeri.
Pada majlis sama, Projek Menaik Taraf Sistem Air Bergraviti (Gravity Feed System) antara Rumah Sumping dan Rumah Maramat, Ran Asal, turut diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan dengan kos RM80,000.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Maramat, Ran Asal, manakala RM4,000 lagi diperuntukkan kepada biro wanita organisasi berkenaan.
Hadir sama, Pembantu Khas kepada ADUN Bukit Begunan Whelton Lumpoi, Penghulu Menjang Niah, Penghulu Riji Gu, Ahli-Ahli Majlis Daerah Sri Aman iaitu Kaunselor Beliang serta Kaunselor Ajin Buchol dan Ketua Kaum di DUN Bukit Begunan.-EDISI UKAS