SOE Perlu Sedia Pertimbang Penggabungan, Transformasi Lain
KUCHING: Perusahaan Milik Kerajaan Sarawak (SOE) perlu bersedia mempertimbangkan penggabungan, penyatuan, penambahbaikan dan bentuk transformasi lain sekiranya terdapat pertindihan mandat, fungsi atau struktur yang tidak lagi berkesan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kajian Fasa 2 telah mengenal pasti beberapa kemungkinan awal bagi tujuan tersebut.
Menurutnya dalam sesetengah kes, hala tuju itu sudah mula terbentuk seperti pertimbangan untuk menyatukan beberapa pihak berkuasa pelabuhan di bawah ‘Sarawak Ports Authority (SARPA)’.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini masih merupakan pertimbangan awal kerana ia memerlukan kajian kebolehlaksanaan yang sewajarnya, usaha wajar serta penilaian yang teliti.
“Keputusan ini tidak boleh didorong oleh sentimen, sebaliknya ia mesti berpandukan kepada apa yang terbaik untuk kepentingan jangka panjang setiap entiti dan Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ‘Sarawak State-Owned Enterprise (SOE) Transformation Programme’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, penstrukturan semula dilaksanakan adalah untuk mewujudkan nilai yang lebih besar daripada aset dan pelaburan milik Kerajaan Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, transformasi turut memerlukan pendekatan yang lebih selektif dalam menentukan penyaluran modal berpandukan kepada peluang dan bukannya semata-mata berdasarkan sejarah pembiayaan.
Ujarnya, setiap permohonan modal yang besar mesti menunjukkan dengan jelas tujuan strategik, pulangan yang dijangka atau nilai awam, risiko utama, alternatif yang tersedia serta pencapaian yang diperlukan untuk membolehkan pembiayaan diteruskan.
Jelasnya, perkara ini amat penting khususnya apabila Kerajaan Sarawak memberikan sokongan melalui suntikan ekuiti atau pinjaman.
“Hutang mesti mempunyai logik pembayaran balik. Ekuiti mesti mempunyai logik penciptaan nilai. Geran mesti mempunyai logik hasil.
“Inilah cara kita melindungi kedudukan kewangan awam sambil terus membolehkan pertumbuhan strategik,” menurut beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie