BETONG: Cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Piawai (KK3) baharu di Betong dijangka membantu mengurangkan tekanan terhadap Jabatan Pesakit Luar Hospital Betong dengan menyediakan kapasiti tambahan bagi perkhidmatan rawatan pesakit luar dan penjagaan kesihatan asas.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, sebelum itu mengadakan lawatan ke tapak bangunan serta blok lama Pejabat Kesihatan Bahagian Betong bagi meninjau keadaan kemudahan sedia ada, di sini, pada Selasa.
Lawatan tersebut turut disusuli sesi libat urus yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Betong bagi meneliti keperluan, kesesuaian tapak dan aspek teknikal cadangan pembinaan kemudahan kesihatan baharu.
Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad Norhaizam, berkata ketika ini belum terdapat Klinik Kesihatan Jenis 3 Piawai di bandar Betong, menyebabkan penduduk banyak bergantung kepada Jabatan Pesakit Luar Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan asas.
Menurut beliau, pertambahan penduduk selaras dengan perkembangan bandar Betong turut meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pesakit luar dan menyumbang kepada kesesakan di kemudahan sedia ada.
Sehubungan itu, pembinaan KK3 baharu bersama kuarters serta Pejabat Kesihatan Bahagian Betong yang baharu dilihat penting bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan dan menyediakan kemudahan alternatif kepada penduduk.
Kemudahan tersebut dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk bandar Betong, malah masyarakat dari kawasan Spaoh dan Debak yang merupakan daerah kecil dalam Daerah Betong.
Cadangan projek berkenaan merangkumi Blok Klinik Kesihatan Jenis 3 Piawai, Blok Pejabat Kesihatan Bahagian, Blok Kuarters dengan 18 unit Kelas F serta blok sokongan, melibatkan kerja-kerja awam, mekanikal dan elektrikal.
Tapak projek pula dicadangkan meliputi kawasan seluas kira-kira 10,319 meter persegi.
Cadangan tersebut kini masih di peringkat awal perancangan dengan keperluan kemudahan, kesesuaian tapak dan aspek teknikal sedang diteliti melalui sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Dalam lawatan berkenaan, Dato Dr. Richard mengingatkan agensi berkaitan supaya meneliti setiap aspek keperluan dan teknikal dengan teliti pada peringkat perancangan bagi memastikan projek yang dilaksanakan kelak berjalan lancar serta memenuhi keperluan semasa masyarakat.
Sesi libat urus tersebut turut menjadi platform penyelarasan antara agensi berkaitan dalam meneliti keperluan serta perancangan projek sebelum ia bergerak ke peringkat seterusnya.-EDISI UKAS